|
17 MAY 2008
HARIAN METRO
RAKYAT Management Services Sdn Bhd, anak
syarikat milik penuh Bank Kerjasama Rakyat
Malaysia Berhad (Bank Rakyat), mensasarkan 15
rangkaian francais Ar-Rahnu X-Change dalam
tempoh tiga tahun bagi menggalakkan orang ramai
menggunakan pajak gadai berteraskan Islam.
Ar-Rahnu adalah perniagaan menawarkan pinjaman
tanpa faedah (kadar upah simpan rendah), jumlah
gadaian tinggi dan tempoh gadaian
fleksibel.
Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat,
berkata tahap kesedaran orang ramai terhadap
sistem pajak gadai Islam diperkenalkan itu
membolehkan mereka memanfaatkannya untuk
mengatasi masalah kewangan dihadapi.
“Jika dulu pajak gadai sering dipandang
negatif, kini konsep Ar-Rahnu X-Change yang
diperkenalkan membolehkan pelanggan yang ingin
modal segera membuat pinjaman secara lebih
berhemah tanpa dibebani unsur penipuan,”
katanya pada sidang media selepas pelancaran
rangkaian Ar-Rahnu keempat di Pusat Bandar Sri
Gombak, Selangor, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya
Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad; Ahli
Majlis Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk
Rahim Baba dan Pengerusi Koperasi Iman, Mohd
Sharifudin Yusop.
Menurutnya, sehingga 30 April lalu jumlah
pinjaman dikeluarkan sebanyak RM461 juta dan ia
melebihi 174 peratus bajet pengeluaran
disasarkan iaitu RM168 juta.
Berdasarkan perkembangan berkenaan, katanya,
rangkaian Ar-Rahnu dijangka terus berkembang di
beberapa lokasi strategik sekitar Lembah Klang,
utara Semenanjung dan Pantai Timur.
“Bulan depan, sebuah rangkaian Ar-Rahnu akan
dibuka di Medan Tuanku, Kuala Lumpur yang akan
diuruskan Koperasi Pendidikan Islam Malaysia
Bhd,” katanya.
Menurutnya, sebuah lagi rangkaian Ar-Rahnu
dijangka dibuka pada Ogos depan di Pokok Sena,
Kedah dan diuruskan Koperasi Kementerian
Kesihatan Negeri Kedah Bhd.
Kamaruzaman berkata, Ar-Rahnu X-Change Sri
Gombak diuruskan Koperasi Serbaguna Iman
Malaysia Bhd selaku francaisi mengunjurkan
purata pengeluaran jumlah pembiayaan RM500,000
setiap bulan dengan mensasarkan baki pinjaman
berjumlah RM6 juta untuk tahun pertama
operasinya.
Perniagaan francais berkenaan adalah satu
daripada program Bank Rakyat untuk menunaikan
tanggungjawab sosialnya bagi membangunkan
perniagaan koperasi secara berterusan.
Menerusi skim francais berkenaan Bank Rakyat
memindahkan pengalaman dan kepakaran operasi
Ar-Rahnu kepada koperasi yang berminat
menceburi perniagaan
berkenaan.
|