|
September 13, 2008
JUHAIDI YEAN ABDULLAH
SUDAH menjadi lumrah menjelang setiap Aidilfitri, ramai yang berpusu-pusu ke kedai pajak gadai.
Mereka menggadaikan gelang emas, cincin, jam, rantai berlian untuk mendapatkan wang tunai buat
bekalan hari raya bagi membeli langsir atau perabot baru, bayar muka kereta baru dan kegunaan lain.
Orang bergadai bukan sahaja untuk perbelanjaan hari raya dan tidak terhad kepada suri rumah atau
ibubapa. Malah ramai juga peniaga kecil, penjaja dan petani yang bergolok bergadai buat modal atau
bayar deposit, baiki rumah, langsai hutang, beli buku buku dan uniform sekolah anak serta
macam-macam lagi.
Di Malaysia, pajak gadai sudah menjadi satu institusi. Ia adalah satu sistem kredit mikro yang
popular di kalangan masyarakat kita. Prof Diraja Ungku Aziz, dalam kajiannya, mendapati kedai-kedai
pajak gadai yang telah beroperasi berpuluh-puluh tahun, adalah satu penindasan ke atas peminjam
miskin. Kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi. Orang Islam juga tahu aktiviti pajak gadai
konvensional mengamalkan riba dan haram. Namun, hakikatnya, ia tetap menjadi pilihan utama mereka
yang ingin mendapat pinjaman kecil secara cepat.
Kini, terdapat 307 kedai pajak gadai yang berdaftar di seluruh negara. Wujudnya kedai pajak gadai,
ceti dan ah long di merata tempat adalah manifestasi peranannya dalam sistem ekonomi kita. Walaupun
ada bank dan institusi kewangan lain, bagi mereka yang tidak layak atau tidak memenuhi syarat untuk
mendapat kad kredit, pinjaman peribadi atau kemudahan overdraf, mereka lebih senang ke kedai pajak
gadai. Sesetengah orang tidak gemar ke bank atau syarikat kredit kerana terlalu banyak borang yang
perlu diisi. Untuk dapatkan RM500 atau RM1,000 adalah leceh untuk mengisi banyak borang, beratur
panjang atau menyerahkan banyak dokumen peribadi. Di kedai pajak gadai tidak banyak karenah. Hanya
perlu letak sekuriti untuk jumlah yang hendak dipinjam.
Namun, ini tidak bermakna semua beres. Menurut Yap Kon Lin, di Bahagian Hal Ehwal Pengguna,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, semua urusan pajak gadai tertakluk
kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Berdasarkan pengalaman beliau, terdapat beberapa keadaan
yang berat sebelah dan tidak adil kepada peminjam. Antaranya ialah:
Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran.
Barang kemas yang digadai, samada cincin, gelang atau rantai, biasanya tidak ditimbang atau diukur.
Banyak kes berlaku di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringan atau pendek sedikit apabila
ditebus. Mungkin peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu. Oleh kerana
berat dan panjang barang itu tidak dicatat dalam resit, peminjam sukar mempertikai penyelewengan
pekedai.
Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, peniaga pajak gadai berhak melelong
barang yang digadai sekiranya dinilai kurang RM100. Bagi barang yang dinilai lebih RM100, peniaga
pajak gadai tidak boleh melelong sesuka hati malah perlu ikut beberapa peraturan termasuk melantik
pelelong berlesen untuk melakukan lelongan. Tapi banyak juga kes peniaga pajak gadai dan pelelong
berlesen berpakat di mana peniaga itu dapat membeli semula barang lelongan tersebut pada harga
terendah.
Ramai peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah
hutang. Ini satu penganiayaan terhadap peminjam.
Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan
barang gadaian hilang atau rosak, peniaga pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang
ditambah 25% lagi kepada peminjam sebagai pampasan. Ini tentu tidak memadai dan tidak adil tetapi
inilah yang diperuntukkan dalam undang-undang yang sedia ada.
Prof. Dr. Abdullah Hassan, Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya, menjelaskan beberapa hal lain yang menindas dan merugikan peminjam. Menurut beliau, peniaga
pajak gadai mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Sebenarnya, pemegang gadaian boleh dapat
semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan. Namun, ada peniaga pajak gadai berani
mengambil kesempatan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang
seterusnya.
Akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang digadai kecuali pemegang yang perlu
menyerahkan surat pajak gadai sahaja. Ia juga tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faeah yang
ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada peminjam yang buta huruf kerana
perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat. Akta tidak menetapkan kawalan atau peraturan
acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan
diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.
Kata Dr. Abdullah lagi, 6 bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah penjaman yang dibuat
adalah besar. Para peminjam terdiri daripada golongan miskin, dan mereka dibebankan dengan kadar
faedah yang tinggi. Akta pula mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan
jika lebih ia perlu mendapat lesen peminjam wang.
Jelas beliau, kontrak gadaian tidak berakhir atau terbatal walaupun peminjam meninggal dunia.
Waris-waris akan menggantikan tempat mereka. Jika waris kecil atau berada di luar negara, waris
boleh menjual harta gadaian dengan persetujuan pemegang gadaian. Ia boleh diguna untuk menjelaskan
hutang si-mati.
Selain itu, peminjam juga terdedah kepada risiko lain. Di Klang baru-baru ini, sebuah kedai pajak
gadai diserbu dan pelbagai barang kemas bernilai RM50,000 yang dipajak secara haram telah dirampas
pihak berkuasa untuk siasatan. Premis itu dipercayai menjalankan pajak gadai tanpa lesen. Sindiket
ini dipercayai membeli pada kadar lebih tinggi daripada pasaran tetapi juga mengenakan kadar faedah
yang lebih tinggi yakni 5% bukannya 2%. Peminjam hanya diberikan resit yang tertulis namanya dan
tarikh transaksi, tanpa maklumat penting lain seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon.
Mereka diberi tempoh 3 bulan untuk menebus. Apabila gagal, barang dilelong tanpa pengetahuan
pemilik. Ini salah di bawah undang-undang. Lebih menyulitkan, tiada banyak maklumat mengenai kedai
atau pengusaha kedai justeru menyukarkan siasatan terhadap operasi
mereka.
Alternatif kepada pajak gadai konvensional bagi masyarakat Malaysia ialah ar-rahn, satu-satunya
sistem pajak gadai Islam pertama di dunia dan hanya dilaksanakan di Malaysia.
Pada tahun 1985, Kerajaan telah memulakan pembangunan prasarana pajak gadai Islam. Pada 1990,
Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussin, bekas Gabenor Bank Negara, mencadang diwujudkan sistem pajak
gadai tanpa riba di Malaysia. Pada 1992, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dengan
kerjasama Bank Negara telah membentuk satu pelan tindakan pajak gadai Islam. Justeru, Kerajaan
Terengganu memperkenalkan Muassasah Gadaian Islam pada tahun 1992 diikuti Permodalan Kelantan Bhd
(anak syarikat PKINK) yang membuka kedai ar-rahn pada 1993. Kerajaan Perlis melaksanakan skim ini
pada 1997.
Kini, berkhidmatan sama ditawarkan beberapa bank seperti Bank Rakyat, Bank Islam, Agro Bank dan EON
Bank yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia. Beberapa koperasi juga menawarkan skim ini kepada
ahli termasuk Koperasi Pengguna Pahang, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak dan Koperasi
Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Terengganu.
Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 148 kaunter pajak gadai Islam beroperasi di negara kita.
Majoriti pengguna perkhidmatan ini adalah mereka yang memerlukan modal segera dalam perniagaan
runcit dan golongan masyarakat desa yang jarang menggunakan perkhidmatan bank. Di Ar-Rahn Kota
Bharu, antara 1992 dan 1996, lebih suku juta orang menjadi pelanggan, yakni purata 52,000 orang
setahun.
Sebenarnya, mencagar barangan untuk mendapatkan wang sudah diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w.
Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu
hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Menurut Saiful Azhar Rosli dalam buku Critical Issues On Islamic Banking and Financial Market
(AuthorHouse, Indiana 2005:132) pajak gadai ar-rahn yang terdapat hari ini adalah berbeza yang
diamalkan penganut Islam zaman dahulu. Namun, kebaikan yang jelas ialah sistem yang ada hari ini
membolehkan ramai orang mendapat pinjaman kecil dengan cagaran tanpa riba.
Walaupun ramai mengetahui kelebihan pajak gadai Islam yang tidak mengamalkan riba, tiada borang
perlu diisi, tiada laporan penilaian harta yang perlu dikemuka, tidak perlu buka akaun terlebih
dahulu dan tiada penjamin, kenapa pajak gadai konvensional lebih banyak pelanggan dan mengeluarkan
jumlah pinjaman lebih besar? Menurut perangkaan Bank Negara pada 2004, jumlah pinjaman yang
dikeluarkan melalui pajak gadai Islam ialah RM275 juta, berbanding RM1.5 bilion oleh pajak gadai
konvensional.
Ada beberapa kemungkinan. Birokrasi yang melambatkan proses kelulusan pinjaman mungkin mendorong
peminjam ke kedai pajak gadai. Melainkan beberapa bank, kebanyakan bank lain tidak menawarkan
an-rahn kerana pulangannya tidak setinggi produk-produk perbankan Islam lain walaupun digesa
berbuat demikian oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Cabaran yang perlu diatasi ialah mengubah mindset masyarakat mengenai kelebihan sistem pajak gadai
Islam. Fokus dan promosi pemasaran perlu diperluaskan kepada orang bukan Islam, bukan sahaja Islam.
Sebagai instrumen kewangan, ar-rahn mempunyai potensi yang cukup besar bukan sahaja di Malaysia,
malah di negara membangunkan lain terutama di Asia Tenggara. Kerajaan dan institusi terbabit perlu
lebih gigih dalam usaha mengenengahkan skim ini ke semua peringkat. Satu langkah yang pasti dapat
mempercepatkan proses ini ialah melalui penggubalan Akta Pajak Gadai Islam yang akan membantu
pengurusan, meningkatkan kecekapan dan keberkesanan industri serta merealisasikan potensinya.
Di bawah sistem pajak gadai konvensional, bagi barang cagaran bernilai RM2,000 misalnya, pekedai
akan pinjamkan RM1,000 dan caj faedah RM2 bagi setiap RM100 yang dipinjamkan (kadar faedah 2%
sebulan). Tempoh pembayaran semula biasanya 6 bulan. Untuk menebus, peminjam harus bayar RM1,000
tambah RM120 (RM20 x 6 bulan). Jika gagal menebus, peminjam boleh membuat perjanjian baru dan mohon
tempoh 6 bulan lagi pada kadar faedah bulanan yang sama dengan syarat dia bayar dahulu faedah 6
bulan pertama. Maknanya, jika dia ingin bayar dalam tempoh 12 bulan, faedahnya ialah 24% (RM240 x
RM1,000 = 24%) setahun.
Kedai pajak gadai tidak terima bayar ansuran. Peminjam mesti bayar jumlah penuh RM1,000 campur
faedah dalam tempoh yang ditetapkan. Kegagalan membayar bermakna hilang cagaran. Bagaimanakah cara
kedai pajak gadai mendapat keuntungan? Andainya nilai sebenar cagaran ialah RM1,500 tapi dinilaikan
RM800, kedai pajak gadai mungkin beri pinjaman RM300 sahaja. Jika peminjam gagal tebus, kerugiannya
ialah RM1,500 - RM336 = RM1,164. Kedai pajak gadai mendapat keuntungan daripada kadar faedah tinggi
yang dikenakan dan bayaran tambahan daripada transaksi dengan peminjam.
Di bawah sistem Islam, perniagaan pajak gadai Islam (murtahin) tidak mengenakan faedah (riba).
Keuntungan yang diperolehi ialah daripada yuran menyimpan aset yang dicagar. Misalnya, jika nilai
cagaran ialah RM1,000 atau kurang, yuran simpanan yang dikenakan ialah (RM1,000/100) x 40 sen atau
RM4 sebulan. Biasanya, kira-kira separuh daripada nilai cagaran yang diberi kepada peminjam (rahin)
sebagai pinjaman tanpa riba. Justeru, pinjaman RM500 yang perlu dibayar dalam tempoh 6 bulan akan
dikenakan yuran sebanyak RM4 x 6 = RM24.
Untuk menebus, rahin perlu membayar murtahin RM524. Rahin boleh mohon lanjutan tempoh pembayaran
balik tetapi kena bayar tambahan atas yuran simpanan. Jikan rahin masih gagal membayar, murtahin
berhak melelong aset yang dicagar. Murtahin akan menuntut apa yang perlu dibayar kepadanya manakala
baki diserah kepada rahin. Jika rahin tidak dapat dikesan, baki akan diberi kepada Baitulmal. Rahin
boleh menutut haknya daripada Baitulmal pada masa akan datang.
Murtahin tidak boleh menjual aset rahin untuk tujuan pelaburan dan keuntungannya semata-mata.
Murtahin boleh mendapat hasil daripada menyimpan aset bukan keuntungan daripada penggunaan aset
tersebut. Jika ini berlaku tanpa pengetahuan atau persetujuan rahin dan jika berlaku kerugian,
murtahin mesti bertanggungjawab ke atas kerugian tersebut.
|